Rabu, 26 Mei 2010

USM cipta plastik daripada kulit buah


GEORGE TOWN - Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi tampil dengan inovasi terkini apabila sekumpulan tiga penyelidiknya berjaya menghasilkan plastik mesra alam menggunakan konsep teknologi hijau bagi menggantikan plastik yang tidak boleh terurai untuk kegunaan pembungkusan.

Kumpulan penyelidik itu diketuai oleh Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Prof. Dr. Hanafi Ismail dengan dibantu oleh Prof. Madya Dr. Noor Aziah Abdul Aziz dan Ooi Zhang Xian dari Bahagian Sains dan Teknologi Makanan Pusat Pengajian Teknologi Industri USM.

Menurut Hanafi, plastik yang mampu terurai itu dihasilkan daripada bahan buangan buah-buahan tropika seperti kulit pisang, kulit rambutan dan kulit serta jerami buah cempedak.

"Pada masa ini, kebanyakan plastik komersial dibuat daripada petroleum dan gas asli yang tidak boleh terurai.

"Idea kami adalah untuk menyelesaikan masalah alam sekitar yang disebabkan oleh petroleum berasaskan polimer yang lengai dengan serangan mikro organisme dan tidak terurai," katanya pada sidang akhbar memperkenalkan produk berkenaan yang dinamakan Fruitplast di sini semalam.

Katanya, proses menghasilkan Fruitplast mengambil masa seminggu untuk menukarkan sisa buah-buahan menjadi lapisan plastik.

Sumber: kosmo!online

Tiada ulasan: