Memaparkan catatan dengan label pelik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pelik. Papar semua catatan

Rabu, 22 Jun 2011

Bapa rayu anak kembar dimatikan


PATNA, India - Tidak tahan melihat penderitaan anak kembar siamnya yang melekat di kepala, seorang bapa dari India memohon supaya membenarkan anaknya mati jika tiada bantuan kewangan untuk membolehkan mereka menjalani rawatan.

Saba dan Farah Shakeel, 15, menderita sakit kepala yang teruk, sakit sendi dan kesukaran untuk bertutur sepanjang mereka membesar.

Dua gadis itu sebelum ini pernah menerima bantuan hasil campur tangan daripada Putera Mahkota Abu Dhabi tetapi bapa mereka Mohammed yang bekerja di gerai teh di Patna kini tidak lagi mampu membiayai kos rawatan anaknya yang tinggi.

Pasukan pakar kembar siam yang diketuai oleh Benjamin Carson dari Amerika Syarikat mendapati kembar tersebut berkongsi saluran darah utama di otak dan mempunyai dua buah ginjal. - Agensi

Khamis, 26 Mei 2011

Bila Nafsu Melampaui Akal: Maka Manusia Menjadi Hina


KUALA TERENGGANU – Mahkamah Tinggi di sini semalam menjadi tumpuan gara-gara kemunculan seorang lelaki berpakaian wanita yang hadir untuk mendengar keputusan berhubung permohonannya mendapatkan kebenaran menukar nama kepada nama wanita.

Bagaimanapun, hajat Mohd. Ashraf Hafiz Abdul Aziz, 25, itu tertangguh apabila Mahkamah Tinggi menetapkan tarikh 18 Julai depan sebagai tarikh keputusan kes.

Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas mendengar hujah kedua-dua pihak dan meneliti petisyen yang dikemukakan pemohon melalui peguamnya, Horley Isaacs.

Ashraf yang berbaju kurung merah putih dan bertudung merah jambu hadir ke mahkamah bagi mendengar permohonannya untuk mendapat kebenaran menukar nama kepada Aleesha Farhana Abd. Aziz.

Mohd. Yazid dalam penghakimannya berkata, walaupun pemohon telah melakukan pembedahan jantina, mahkamah tetap berdepan kesukaran untuk membuat keputusan.

Jumaat, 16 Julai 2010

Melaka Ada Sultan?


SERDANG: Umpan digunakan sebuah syarikat pelaburan bukan calang-calang kerana dikatakan sanggup mengeluarkan modal menyewa sebuah kereta mewah model Rolls-Royce bernilai RM2.85 juta untuk meyakinkan pelabur asing.

Bagaimanapun, gimik pihak terbabit berakhir apabila polis merampas kereta mewah berkenaan dan menahan seorang lelaki selepas curiga dengan nombor pendaftaran digunakan.

Ketua Polis Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, hasil siasatan mendapati kereta mewah terbabit sengaja dipamerkan pihak penganjur bertujuan meyakinkan pelabur asing yang hadir dalam majlis pelancaran berkenaan.

“Sepasukan anggota polis yang melakukan rondaan di sekitar kawasan berkenaan, mendapati kenderaan mewah dipamerkan itu menjadi tumpuan terutama kira-kira 150 pelabur asing dari Hong Kong, China dan Vietnam.

“Curiga keadaan itu anggota polis menghampiri kereta mewah itu,” katanya.
Menurutnya, ketika itu ada tiga lelaki berusia antara 20 hingga 35 tahun yang mendakwa sebagai pemandu dan juga penganjur majlis berada di situ sebelum polis menjalankan pemeriksaan.

Ahad, 11 Julai 2010

Anak Osama bercerai selepas dengar suara ganjil

mymetro
LONDON - Anak lelaki Ketua Al-Qaeda, Osama bin Laden bercerai dengan isterinya yang berketurunan Inggeris yang telah memeluk agama Islam, lapor sebuah akhbar semalam.

Osama yang dikehendaki oleh pemerintah Amerika Syarikat (AS) kerana didakwa menaja keganasan kini didakwa bersembunyi di kawasan pergunungan di Pakistan dan Afghanistan.

Anak lelaki Osama itu bercerai selepas dia mendakwa kerap mendengar suara bapanya.

Omar telah dimasukkan ke sebuah hospital mental pada minggu lalu dan dia diberikan ubat sakit schizophrenia.

Dia yang berumur 29 tahun turut berkelakuan aneh selama beberapa minggu termasuk pernah disaman sebanyak £3,000 (RM14,544) kerana pelbagai kesalahan lalu lintas dan dia turut ketagih membeli-belah.

Isteri Omar, Zaina atau nama asalnya, Jane Felix Browne yang berusia 54 tahun mendedahkan kepada sebuah akhbar Britain bahawa dia kecewa dengan perpisahan mereka tetapi tidak tahan lagi dengan perangai ganjil suaminya.

"Memang benar ikrar perkahwinan kami untuk bersama di waktu sihat dan sakit tetapi jika perangai ganjilnya berterusan saya akan mati dahulu," katanya.

Zaina yang pernah berkahwin sebanyak enam kali sebelum ini bagaimanapun memberitahu, dia tahu Omar mengalami sakit mental semasa mereka berkenalan.

Omar telah memohon visa untuk tinggal di Britain sebanyak enam kali tetapi semua permohonannya ditolak. - Agensi

Selasa, 6 Julai 2010

Gempar ikan berwajah manusia


kosmo

DAGENHAM - Seekor ikan peliharaan di Britain menggemparkan pemiliknya kerana memiliki wajah seperti manusia, lapor sebuah akhbar semalam.

Ikan kap itu dibela seorang lelaki, Brendan O'Sullivan di sebuah kolam di rumahnya di sini. Lelaki berusia 44 tahun itu membeli ikan tersebut lima bulan lalu tetapi dia mula mengetahui ia memiliki tanda seperti mulut, hidung dan mata manusia baru-baru ini.

"Hanya pada minggu lalu ketika saya berjemur di belakang rumah saya, saya memerhati ke dalam kolam dan melihat ikan tersebut berenang ke arah saya," kata Brendan.

"Saya kemudian terkejut. Ia memiliki tanda seperti dua mata, hidung dan mulut. Pada mulanya, saya ingat saya mengalami halusinasi," tambahnya.

Ekoran keunikan itu, ikan kap milik lelaki berkenaan kini dianggarkan berharga £40,000 (RM196,067). - Agensi

Ahad, 4 Julai 2010

Laut terbelah di Korea.Keajaiban di Pulau Jindo bentuk laluan sementara 2.8 kilometer selama sejam


APA saja yang disebut sebagai keajaiban memang tidak pernah gagal menarik perhatian orang ramai. Lebih-lebih lagi apabila kisah di sebaliknya sukar dijelaskan. Malah, banyak sebenarnya fenomena menakjubkan berlaku di dunia ini yang kurang diketahui ramai biarpun berlaku hampir saban tahun.
Salah satu fenomena yang tidak kurang menariknya adalah kejadian laut terbelah yang berlaku di Pulau Jindo, wilayah Jeollanam-do di kawasan barat daya Korea Selatan. Pulau ini adalah yang ketiga terbesar di negara itu dan terletak berhampiran pulau Jejudo dan Geojodo. Bayangkan dalam tempoh sejam, anda dapat menyaksikan kekuasaan Ilahi apabila lautan yang sebelum ini dipenuhi air dan secara tiba-tiba terbelah dan membentuk laluan sementara sepanjang 2.8 kilometer dan selebar 40 hingga 60 meter.
Kejadian itu pasti mengingatkan kita terhadap kisah Nabi Musa yang ‘membelah laut’ bagi membawa pengikutnya yang taat kepada Allah SWT melarikan diri daripada kekejaman Firaun.

Namun, kejadian moden belahan laut di Jindo itu lain ceritanya yang berkait rapat dengan faktor semula jadi iaitu berlakunya pertembungan arus surut secara serentak yang menyebabkan paras air surut sebanyak enam hingga tujuh meter.

Ini menghasilkan laluan bagi menghubungkan dua daratan yang sebelum ini ditenggelami air. Ia juga lazimnya berlaku pada jam 5 atau 6 petang dan disambut menerusi pesta besar-besaran yang dikenali ‘Jindo Yeongdeung Festival’ atau Pesta Laut Terbelah Jindo.
Malah Pesta Laut Terbelah Jindo ini selalunya diadakan tiga kali setahun iaitu pada Mac atau Mei serta Julai. Bagaimanapun, sambutan luar biasa pelancong tempatan dan asing yang mencecah 400,000 orang membanjiri pesta itu menyebabkan pihak berkuasa memutuskan untuk turut meraikan pesta berkenaan pada April.

Acara itu juga membolehkan pelancong menikmati pelbagai pengalaman di laut dan menyaksikan pemandangan unik serta budaya Jindo. Pesta itu diserikan dengan lagu rakyat Jindo dan tarian khas Korea, Ganggangsullae, turut dipersembahkan. Tarikan lain sepanjang pesta itu termasuk pertunjukan bunga api, pertunjukan laser, persembahan muzik tradisional serta permainan dram.

Bagi mendapatkan pemandangan paling menarik laut terbelah dan membentuk laluan, orang ramai boleh menikmatinya sama ada dengan memanjat bukit atau berjalan-jalan sendiri di laluan itu.

Malah, siapa yang mahu melepaskan peluang melihat detik-detik keajaiban dan tidak hairanlah sebaik lautan itu terbelah, orang ramai berpusu-pusu melintasi laluan itu dan meraikan rakan dari arah bertentangan berikutan penyatuan daratan kepulauan Jindo dan Modo. Tidak kurang pula yang mengambil kesempatan mencari tiram, rumpai dan hasil lautan lain.

“Inilah keajaiban yang tidak mungkin disaksikan di tempat lain. Dalam sekelip mata, laut terbelah dan mendedahkan dasarnya. Tiada perkataan dapat menggambarkan ketakjuban melihat hidupan laut seperti kerang, kepah dan hidupan marin yang sebelum ini hidup di dasarnya, tiba-tiba timbul,” kata pelancong tempatan, Cho Eun-Jun yang dipetik media tempatan, baru-baru ini.

Hakikatnya, tidak ramai yang tahu mengenai kewujudan fenomena itu sehinggalah pada 1975, apabila seorang duta Perancis ketika itu, Pierre Randi, melawat Korea Selatan dan menulis mengenainya dalam sebuah akhbar negaranya.

Namun, seperti juga banyak kejadian aneh lain, ada kisah atau kepercayaan rakyat tempatan di sebalik fenomena itu. Ia dikaitkan dengan sebuah kampung di Jindo yang diserang harimau yang menyebabkan penduduk berlari ke pulau Modo untuk berlindung. Malangnya, seorang wanita tua, Pong, yang tidak berdaya tertinggal. Dalam keadaan serba tersedak dia memohon bantuan Dewa Laut, yang kemudian memisahkan laut dan membantu wanita malang itu lari daripada haiwan liar berkenaan.

Apabila laut itu terbelah, ramai penduduk yang berlari ke Modo, memainkan gong dalam usaha mereka mencari wanita berkenaan. Dia, bagaimanapun meninggal dunia tetapi sebelum mati, wanita berkenaan sempat membisikkan: “Doaku dimakbulkan. Laluan laut terbuka dan aku dapat melihat kamu semua. Kini, harapanku sudah terlaksana. Aku boleh meninggal dengan tenang.”

Nama asal daerah itu, Hodong, kemudian ditukar kepada Hoedong, bermakna ‘Kampung Orang yang Kembali’, bagi mengingati kisah Pong.

Selain di Korea, kejadian itu turut dipopularkan di Jepun, selepas penyanyi wanitanya, Dendo Yomishi, menghasilkan lagu fenomena Jindo itu pada 1996.

Kisah Nabi Musa belah samudera

Fenomena laut terbelah dua bukan perkara baru kerana ia pernah berlaku pada zaman Nabi Musa yang ketika membawa pengikutnya yang taat kepada Allah melarikan diri daripada kekejaman Firaun, pemerintah Mesir.

Namun begitu, besar perbezaan dengan apa yang berlaku di Korea Selatan kerana perkataan terbelah dan membelah itu sendiri membawa makna berlainan. Kejadian laut terbelah di Korea Selatan berpunca daripada faktor saintifik sedangkan keupayaan Nabi Musa membelah Laut Merah pada tanggal 10 Muharam dengan tongkatnya adalah disebabkan mukjizat yang dikurniakan Allah kepada baginda.


Kekejaman Firaun yang mengaku dirinya Tuhan sudah sampai di kemuncak, menyebabkan Nabi Musa membawa pengikutnya lari untuk mengelak daripada diseksa.
Pelarian membawa mereka ke tepi Laut Merah. Sekali pandang, Nabi Musa dan pengikut baginda bakal menjadi habuan kebuasan Firaun kerana terperangkap - di depan laut dan di belakang pula tentera Firaun semakin mendekati.

Namun Allah SWT mempunyai perancangan tersendiri untuk menyelamatkan Rasul serta makhluk-Nya yang beriman. Allah mengarahkan Nabi Musa mengetuk tongkat baginda, yang sebelum itu berjaya membuatkan ahli sihir Firaun ketakutan selepas menjelma menjadi ular besar menelan semua ular yang dijelmakan ahli sihir berkenaan, ke laut.

Dengan izin-Nya, Laut Merah itu terbelah dua, menyediakan laluan untuk Nabi Musa dan pengikut baginda menyeberang dengan selamat.

Firaun dan bala tenteranya yang ghairah mahu membunuh Nabi Musa dan pengikut baginda akhirnya masuk ke dalam perangkap maut apabila laut kembali bersatu sebaik mereka berada di tengah-tengah dan selepas Nabi Musa dan pengikut baginda sudah selamat tiba di tebing.

Bukti kejadian itu diungkap oleh seorang pakar arkeologi, Ron Wyatt, yang mendakwa menemui beberapa roda kenderaan perang purba di dasar Laut Merah. Katanya, ia mungkin sebahagian sisa kenderaan perang tentera Firaun yang tenggelam ketika mengejar Nabi Musa.

Katanya, selain roda kenderaan perang berkuda, Wyatt bersama pasukannya turut menemui tulang manusia dan tulang kuda di tempat yang sama. Penemuan itu mengukuhkan dakwaan ia adalah sisa tulang tentera Firaun apatah lagi hasil kajian yang dilakukan di Universiti Stockholm ke atas tulang berkenaan mengesahkan ia berusia sekitar 3,500 tahun, sama waktu kejadian Nabi Musa membelah Laut Merah berlaku.

Apapun, kedua-dua kejadian itu berlaku atas kehendak Allah SWT yang cuma mengarahkan laut terbelah mengikut jadual, dan itulah yang akan terjadi.

INFO: Laut terbelah Jindo
# Berlaku dua kali setahun iaitu sama ada Mac atau Mei serta Julai.
# Secara saintifik, kejadian itu disebabkan penurunan mendadak paras air laut akibat pertembungan air pasang dan surut secara serentak.
# Ia juga disebabkan tarikan graviti antara bulan dan matahari.
# Fenomena itu berlaku selama sejam dan mendedahkan sebahagian dasar lautannya yang membentuk laluan menghubungkan daratan Jindo dan pulau sekitarnya.
# Menjadi antara acara tarikan utama pelancong ke Korea Selatan, setiap tahun.

Diploma palsu universiti dijual di Internet

kosmoonline

BEIJING - Pihak berkuasa China mengesan lebih tiga juta laman web tempatan yang menawarkan diploma palsu melibatkan hampir 30 buah universiti di Beijing dengan setiap keping boleh mencecah harga sehingga 9,000 yuan (RM4,300).

Akhbar China Daily semalam melaporkan, diploma Universiti Sains dan Teknologi Beijing paling laris serta menjadi tumpuan pelajar yang menggunakan ia untuk menipu ketika temuduga memohon pekerjaan sama ada sektor kerajaan atau swasta.

"Jika diploma dari universiti awam, kos paling rendah ialah 7,000 yuan (RM3,344) tetapi universiti swasta cuma 4,000 yuan (RM1,911), manakala pemohon wanita gemar diploma pengurusan perniagaan dan calon lelaki pula suka bidang sains komputer," kata seorang ejen yang hanya dikenali sebagai Wang.

Kementerian Pelajaran berkata, diploma dari Beijing amat diminati kerana ada 102 buah universiti di ibu negara China itu namun, majikan boleh mengesan penipuan dengan menghubungi pihak universiti untuk pengesahan rekod. - Agensi

Jumaat, 2 Julai 2010

Gilo: Lelaki 90 tahun rogol empat beradik



kosmo!online
BANGKOK - Seorang lelaki Australia berumur 90 tahun, Karl Joseph Kraus ditangkap dan didakwa merogol empat beradik perempuan di bawah umur di utara Thailand dengan menggunakan coklat import dan belajar bahasa Inggeris di rumahnya sebagai umpan untuk memerangkap mereka, kata polis semalam.

Dia ditangkap kelmarin di rumahnya dekat bandar Chiang Mai.

Menurut Ketua Polis Doi Saket, Kritapol Yeesakorn, polis turut merampas kira-kira 100 gambar bogel kanak-kanak.

Dia berkata, beberapa gambar menunjukkan Kraus bergambar bogel dengan sejumlah kanak-kanak dan polis kini sedang berusaha untuk mengenal pasti identiti kanak-kanak berkenaan.

Ketua polis itu berkata, Kraus yang tinggal di Thailand lebih sedekad lalu memujuk keluarga budak perempuan itu pada 2008 dengan menawarkan pembelajaran bahasa Inggeris.

"Dia (Kraus) akan mengumpan budak perempuan itu ke rumahnya dengan gula-gula, terutamanya coklat dari luar negara yang mahal dan meminta mereka melakukan perlakuan seks dengannya," kata Kritapol.

Menurutnya, baru-baru ini, Kraus memberi wang kepada kakak sulung empat beradik itu sebanyak 4,000 baht (RM400) bagi menggantikan gula-gula.

Ibu bapa empat beradik itu mengetahui perbuatan terkutuk tersebut selepas mendapati anak-anak mereka tidak berminat untuk keluar bermain di luar rumah.

Selepas ditanya, empat anak mereka itu yang berumur tujuh, 11 dan 12 tahun memberitahu perbuatan buruk Kraus menyebabkan satu aduan polis dibuat. - Agensi

Rabu, 26 Mei 2010

USM cipta plastik daripada kulit buah


GEORGE TOWN - Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi tampil dengan inovasi terkini apabila sekumpulan tiga penyelidiknya berjaya menghasilkan plastik mesra alam menggunakan konsep teknologi hijau bagi menggantikan plastik yang tidak boleh terurai untuk kegunaan pembungkusan.

Kumpulan penyelidik itu diketuai oleh Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Prof. Dr. Hanafi Ismail dengan dibantu oleh Prof. Madya Dr. Noor Aziah Abdul Aziz dan Ooi Zhang Xian dari Bahagian Sains dan Teknologi Makanan Pusat Pengajian Teknologi Industri USM.

Menurut Hanafi, plastik yang mampu terurai itu dihasilkan daripada bahan buangan buah-buahan tropika seperti kulit pisang, kulit rambutan dan kulit serta jerami buah cempedak.

"Pada masa ini, kebanyakan plastik komersial dibuat daripada petroleum dan gas asli yang tidak boleh terurai.

"Idea kami adalah untuk menyelesaikan masalah alam sekitar yang disebabkan oleh petroleum berasaskan polimer yang lengai dengan serangan mikro organisme dan tidak terurai," katanya pada sidang akhbar memperkenalkan produk berkenaan yang dinamakan Fruitplast di sini semalam.

Katanya, proses menghasilkan Fruitplast mengambil masa seminggu untuk menukarkan sisa buah-buahan menjadi lapisan plastik.

Sumber: kosmo!online

Khamis, 29 April 2010

Saintis Britain minta bukti kukuh

LONDON - Seorang saintis Britain meminta satu kumpulan ekspedisi China-Turki menunjukkan lebih banyak bukti saintifik bahawa mereka telah menemui bahtera Nabi Nuh di Gunung Ararat, Turki, lapor sebuah akhbar semalam.

Pada Isnin lepas, agensi berita AFP melaporkan sekumpulan 15 penjelajah dari Hong Kong dan Turki mendakwa menemui tujuh struktur berupa kandang kayu besar di dalam lereng curam bersalji pada ketinggian sekitar 4,000 meter berhampiran puncak Gunung Ararat di timur Turki.

"Kami belum dapat mengesahkan 100 peratus ia bahtera Nabi Nuh tetapi kami 99.9 peratus yakin bahawa kami telah menemuinya (bahtera Nabi Nuh)," kata seorang pembikin filem yang menyertai ekspedisi itu, Yeung Wing-cheun berhubung penemuan sisa tinggalan kayu pada Oktober tahun lalu di gunung berkenaan.

Menurutnya, sisa tinggalan dan struktur kayu itu bukan peninggalan penempatan manusia dahulu kala kerana tiada tempat tinggal manusia pernah ditemui pada ketinggian melebihi 3,500 meter di lokasi berkenaan.

Kumpulan penjelajah itu enggan mendedahkan dengan tepat lokasi penemuan itu sehingga pemerintah Turki bersetuju untuk mengisytiharkan kawasan tersebut sebagai tapak arkeologi.

"Saya melihat struktur diperbuat daripada papan kayu balak. Setiap papan selebar kira-kira 20 sentimeter," kata seorang ahli kumpulan ekspedisi itu, Panda Lee pada sidang akhbar di Hong Kong Isnin lepas.

"Saya turut melihat pasak-pasak kayu, bukti struktur itu adalah binaan dahulu kala sebelum penggunaan paku besi.

"Kami kemudian berjalan ke satu lagi tapak. Saya dapat melihat beberapa serpihan papan dilitupi glasier, sesetengahnya memiliki panjang sehingga 20 meter," tambah Lee.

Menurutnya, dinding kayu sebuah kandang adalah rata dan melengkung seperti dinding bahtera manakala klip video yang ditunjukkan kumpulan itu mendedahkan struktur kandang itu mempunyai beberapa pintu, tangga dan pasak kayu.

Pasukan penjelajah itu memberitahu, papan yang mereka temui berasal daripada kayu pokok pain Cypress walaupun kitab Injil sebelum ini menyatakan, bahtera Nabi Nuh dibina daripada kayu kokka.

Kitab al-Quran dan Injil ada menyatakan, banjir besar berlaku di bumi dengan Tuhan memerintah Nabi Nuh membina sebuah bahtera dan membawa bersamanya haiwan.

Menurut kitab Taurat, ukuran panjang bahtera Nabi Nuh adalah 160 meter, lebar 24 meter dan tinggi 16 meter iaitu lebih tinggi daripada sebuah bagunan tiga tingkat manakala dek bahtera itu pula seluas 36 gelanggang tenis.

Ujian penentuan tarikh karbon mendapati struktur yang ditemui di Gunung Ararat itu berusia 4,800 tahun.

Bagaimanapun, seorang pakar arkeologi Britain, Mike Pitt berkata, buat masa ini, kumpulan ekspedisi itu masih belum mengemukakan bukti kukuh.

"Jika berlaku banjir besar yang berupaya mengapungkan kapal hingga ketinggian 4,000 meter ke lereng sebuah gunung pada 4,800 tahun lalu, saya yakin terdapat bukti geologi mengenai banjir ini di seluruh dunia tetapi sehingga kini tiada bukti lagi," kata Pitt.

Penganut agama Kristian sebelum ini menyatakan Nabi Nuh memerlukan 40,000 haiwan bagi mewakili setiap jenis binatang di bumi.

Namun, mereka yang sangsi dengan kenyataan itu memberitahu, Nabi Nuh perlu membina kapal amat besar yang boleh memuatkan sekurang-kurangnya 1.5 juta spesies haiwan sekiranya ingin membawa bersama semua haiwan di bumi.

Ekspedisi penemuan serpihan kayu itu turut boleh dilihat di laman perkongsian video YouTube di Internet. - Agensi


<-GAMBAR yang disiarkan agensi berita AFP pada Selasa lalu menunjukkan seorang anggota ekspedisi melihat dinding kayu yang dipercayai kandang haiwan di dalam bahtera Nabi Nuh di Gunung Ararat, Turki.

Rabu, 28 April 2010

Bahtera Nabi Nuh ditemui


HONG KONG - Sekumpulan penjelajah China dan Turki kelmarin mendakwa mereka mungkin telah menemui bahtera Nabi Nuh pada ketinggian 4,000 meter di sebuah lereng curam di Gunung Ararat, timur Turki.

Jurucakap pasukan berkenaan memberitahu, beberapa binaan kayu yang mereka temui di lokasi itu didapati berusia 4,800 tahun berdasarkan ujian penentuan tarikh karbon iaitu sama usianya dengan zaman banjir besar pada era Nabi Nuh.

"Penemuan ini bukan mengesahkan 100 peratus bahawa ia bahtera Nabi Nuh tetapi kami yakin ia 99.9 peratus adalah bahtera itu," kata seorang anggota pasukan penjelajah, Yeung Wing-cheung.

Menurutnya, binaan kayu itu dibahagikan kepada beberapa petak, sebahagiannya memiliki rasuk kayu yang dipercayai digunakan untuk menempatkan sejumlah haiwan dalam bahtera itu.

Ahad, 25 April 2010

Pandu kereta guna mata


BERLIN - Sekumpulan penyelidik Jerman dari Universiti Free di Jerman semalam berkata, mereka berjaya mencipta satu teknologi terbaru yang membolehkan sebuah kereta dapat dipandu dengan hanya menggunakan mata.

Seorang penyelidik, Paul Rojas dan pasukannya turut mengadakan demonstrasi teknologi kereta itu yang dikenali sebagai eyeDriver di sebuah lapangan terbang terbiar di sini.

Stering kereta itu akan bergerak mengikut pergerakan mata.

Teknologi tersebut mampu mengesan arah pergerakan mata pemandu bagi mengemudi kereta sehingga pada kelajuan maksimum 50 kilometer sejam.

"Langkah seterusnya ialah untuk kami cuba memandu hampir 100 kilometer sejam namun cabaran terbesar ialah bagi mengemudikan kereta berkenaan di dalam sebuah bandar raya yang penuh dengan pejalan kaki dan pelbagai halangan lain," katanya.

Bagaimanapun, aspek keselamatan menjadi kebimbangan seperti apakah yang bakal terjadi jika pemandu mengerling seketika ke arah seorang wanita cantik atau cuba mengambil telefon bimbit yang sedang berbunyi.

Bagi menangani isu itu, kereta tersebut dilengkapi dengan alat pemanduan arah global (GPS), beberapa kamera, laser dan pengimbas supaya kenderaan tersebut dipandu secara automatik. - AP