Isnin, 14 November 2011

Al-Fatihah Buat Sahabatku Fareez Izhar Zainuddin


11.11.11...tarikh keramat kata orang. Bagi sesetengah orang, ia pasti menjadi tarikh bahagia seperti tarikh penikahan, kelahiran dan sebagainya. Namun ada juga yang berduka dengan kehadiran tarikh ini.

Begitulah bagi pelajar-pelajar Perak di Mesir, tarikh 11.11.11 merupakan tarikh pepisahan kami dengan Al-Marhum Fareez Izhar Zainuddin yang diambil Allah lebih awal dari kami.

Namun kesedihan itu seperti terubat bila mengenangkan cara al-marhum diambil Allah. Al-marhum pergi ketika bangun untuk berqiammulail di malam jumaat yang penuh barakah.Sesungguhnya inilah tanda khusnul khotimah yang dikurniakan kepada orang-orang terpilih.

Betapa al-marhum layak untuk memiliki khusnul khotimah kurniaan Allah. Al-marhum pergi meninggalkan kita dengan wajah tersenyum. Betapa seri kematian seorang wira.

Kenangan bersama arwah sudah pasti tidak dapat dilupakan. Tambah-tambah dalam kerja bersama arwah dalam kerja-kerja dakwah. Delegasi yang ditinggalkan arwah wajib diteruskan. AL-FATIHAH buat arwah Fareez Izhar bin Zainuddin.

Khamis, 10 November 2011

Anak Saudara Sulung


Salam alaik..

Alhamdulillah, pada 2 November 2011 yang lalu, aku dikurniakan anak saudara sulung melalui kakak aku ke-2. Bayi seberat 3.16 kg itu lahir normal di hospital Kuala Lumpur pada jam 2.00 ptg.

Makanya, secara rasmilah aku menjadi Pak Su buat kali pertama dalam hidup.Bayi ini sangat comel sehingga tidak jemu-jemu memangdangnya. Mamanya pulak berpantang di rumah aku, dapatlah hari-hari aku melihatnya sehingga tarikh aku berangkat ke Mesir nanti.

Muhammad Haziq Amsyar, itulah nama yang dipilih ibunya merangkap kakak aku.sebenarnya nama ni aku yang pilih.hehe..macam-macam dah tukar, akhirnya ini yang dipilih.

Semoga Haziq menjadi anak yang soleh dan menjadi pejuang agama Allah.Takbir!!

Rabu, 2 November 2011

Sekat pelajar IPT berpolitik tidak sah


Mahkamah rayuan putuskan Seksyen 15 (5)(a) AUKU bercanggah perlembagaan

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan semalam memutuskan peruntukan dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang melarang pelajar menyatakan sokongan dan simpati atau bangkangan kepada mana-mana parti politik dalam dan luar negara, adalah tidak sah dan bercanggah Perlembagaan Persekutuan.
Keputusan 2-1 oleh panel tiga hakim, diketuai Datuk Wira Low Hop Bing itu memutuskan seksyen 15 (5) (a) AUKU bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan AUKU sebagai sah di sisi perlembagaan dalam menguatkuasakan sekatan tertentu.
Pada 28 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan empat pelajar Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad Hilman Idham, 22; Woon King Chai, 23; Muhammad Ismail Aminuddin, 23 dan Azlin Shafina Mohamad Adza, 23, yang didakwa terbabit dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor pada April tahun lalu.

Dalam saman pemula yang difailkan pada 1 Jun tahun lalu, mereka menamakan kerajaan, Kementerian Pengajian Tinggi dan UKM bagi mencabar tindakan universiti mengemukakan notis menghadiri Lembaga Disiplin UKM bagi menjawab tuduhan melanggar seksyen berkenaan. Bagaimanapun, mereka didapati tidak bersalah oleh lembaga itu dan menamatkan pengajian masing-masing bulan lalu.

Dalam penghakimannya, Hakim Datuk Mohd Hishamuddin Mohd Yunus, berpendapat Seksyen 15(5)(a) berhubung larangan itu tidak munasabah dan tidak dapat melihat bagaimana sokongan atau bangkangan pelajar ke atas mana-mana parti politik boleh memudaratkan kepentingan atau moral awam.

“Bukankah parti politik adalah entiti sah dari segi undang-undang yang menjalankan aktiviti politik yang sah. Bukankah pemimpin politik, termasuk menteri dan penggubal undang-undang persekutuan dan negeri juga adalah ahli parti politik.
“Peruntukan ini tidak rasional. Kebanyakan pelajar universiti sudah mencapai usia majoriti, mereka boleh memasuki perjanjian dalam kontrak, boleh menyaman dan disaman, berkahwin, menjadi ibu bapa dan menjalankan kewajipan kekeluargaan.

“Mereka boleh mengundi jika mencapai usia 21 tahun dan boleh menjadi pengarah syarikat dan pemegang jawatan sesuatu pertubuhan. Ironinya mereka pula diberitahu, mengikut undang-undang mereka tidak boleh berkata apa-apa yang ditafsirkan sebagai menyokong atau membangkang sesebuah parti politik,” katanya.

Mohd Hishamuddin berkata, beliau juga berpendapat Seksyen 15(5)(a) menghalang perkembangan sihat minda kritikal dan pemikiran asal pelajar yang bukan saja tidak produktif, malah mengongkong kerana universiti sepatutnya menjadi institusi yang melahirkan pakar pemikir serta pembaharuan dan bukan pelajar yang dilatih seperti robot.

Datuk Linton Albert pula berkata, yang jelas, peruntukan dalam AUKU tidak masuk akal kerana empat pelajar berkenaan berdepan tindakan tata tertib, termasuk dibuang universiti hanya kerana menghadiri kempen pilihan raya kecil itu.

“Oleh kerana ia tidak munasabah, maka penghakiman saya berhubung Seksyen 15(5)(a) tidak berada di bawah ruang lingkup Perkara 10(2)(a) Perlembagaan Persekutuan (hal ketenteraman awam), bercanggah Perkara 10(1)(a) (kebebasan bersuara) dan tidak sah seperti termaktub dalam Perkara 4(1) perlembagaan,” katanya.

Sementara itu, Hop Bing yang tidak bersetuju dengan kedua-dua penghakiman itu, berkata larangan pembabitan pelajar dalam politik perlu bagi menghalang penyusupan ideologi politik, termasuk sifat ekstremis di kalangan pelajar.

Beliau turut menyarankan (bukan sebahagian dari penghakiman) bahawa Parlimen mungkin boleh menimbangkan untuk meminda Seksyen 15(5) secara khusus dan keseluruhan akta secara umumnya bagi tujuan pemansuhan dan semakan.