Rabu, 7 April 2010

Pengasingan gerabak: Diterima, tapi jangan paksa


Oleh G. Manimaran dan Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 7 April — Pemimpin wanita parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan menyambut baik langkah pengasingan gerabak komuter KTM ikut gender, tetapi berharap ia bukan satu langkah paksa.

Sebaliknya penumpang perkhidmatan komuter khususnya wanita wajar diberikan pilihan sama ada mahu menggunakan gerabak khas untuk kaum lelaki ataupun wanita.

“Saya menyambut baik tetapi pilihan harus diberikan sama ada mahu menggunakan gerabak lelaki atau wanita... misalnya jika saya menggunakan komuter bersama ahli keluarga, juga diikuti anggota keluarga kalangan lelaki... bagaimana keadaan mereka?” soal Pengarah Eksekutif Sisters in Islam Dr. Hamidah Marican kepada The Malaysian Insider.

Hamidah berpendapat perkara-perkara seperti ini perlu dihalusi supaya tidak mencetuskan suasan tidak senang di kalangan pengguna.

“Kita harus sediakan pilihan,” kata beliau pendekatan ini bukan sesuatu yang baru kerana sudah diamalkan di Jepun dan di beberapa negara lain.

Malah kata beliau, ada hotel di negara-negara tertentu yang menyediakan tingkat khusus untuk wanita.

Beliau melihat keperluan ini dari sudut pilihan, bukannya satu bentuk paksaan.

Dalam pada itu, ketua wanita parti komponen Pakatan Rakyat juga menerima baik cadangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mewujudkan gerabak berasingan untuk wanita kerana akan memberi keselesaan perjalanan kepada golongan itu dalam persekitaran lebih selamat.

Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat Zuraida Kamaruddin berkata, pengasingan dimaksudkan akan memberi lebih keselesaan kepada golongan wanita selain melindungi mereka daripada gangguan seksual.

“Cadangan mewujudkan gerabak berasingan ini bagus kepada golongan wanita kerana selain memberikan keselesaan sepanjang perjalanan, mereka juga selamat daripada masalah gangguan seksual.

“Jadi dengan adanya gerabak berasingan ini, wanita akan berasa dilindungi sepanjang perjalanan ke destinasi masing-masing.

“Dengan adanya gerabak berasingan ini secara tidak langsung, masalah gangguan seksual dapat dikurangkan,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Presiden KTMB Dr Aminuddin Adnan untuk untuk mewujudkan gerabak komuter berasingan bagi penumpang lelaki dan wanita dalam usaha meningkatkan keselesaan para penumpang.

Aminuddin berkata tinjauan KTMB menunjukkan 60 peratus penumpang KTM Komuter terdiri daripada kaum wanita.

Katanya, jika kereta api komuter mempunyai tiga gerabak, satu gerabak akan diperuntukkan untuk mereka yang berkeluarga serta warga emas dalam usaha KTMB mewujudkan keselesaan penumpang serta meningkatkan mutu perkhidmatannya.

Ketua Dewan Muslimat PAS Nuridah Salleh juga berpendapat pengasingan akan meningkatkan keselamatan golongan tersebut apabila menggunakan pengangkutan awam.

“Apabila ada gerabak berasingan ini, wanita akan berasa lebih selamat dan selesa semasa menggunakan perkhidmatan komuter.

“Apa yang penting mereka tidak akan lagi mengalami masalah gangguan seksual apabila berada dalam komuter.

“Mungkin perkara ini baru di negara kita tapi negara-negara Eropah telah melakukannya dan kita lihat kesan positifnya kepada golongan wanita,” katanya.

Ketua Wanita Pertubuhan Jamaah Islam Malaysia (JIM) Che Asmah Ibrahim berpendapat, cadangan tersebut amat bagus kerana ia secara tidak langsung dapat membantu wanita.

“Kita memang menyokong cadangan ini kerana kita melihat ramai wanita menjadi mangsa gangguan seksual dalam kereta api terutamanya ketika waktu puncak.

“Pada waktu ini ramai orang yang akan berasak-asak dan ketika ini juga ada lelaki yang cuba mengambil kesempatan ke atas wanita.

“Mungkin gerabak berasingan ini boleh dilakukan ketika waktu puncak sahaja iaitu pada waktu pagi dan petang,” katanya.

Beliau berkata, gerabak pengasingan ini merupakan satu langkah terbaik dalam menjaga martabat dan juga kehormatan wanita.

“Sekarang kita banyak dengar aduan tentang gangguan seksual yang melibatkan wanita, jadi apabila pengasingan ini dibuat maka kehormatan wanita dapat dijaga.

“Selain itu, lebih selesa sekiranya wanita diletakkan dalam satu gerabak berasingan daripada bercampur dengan lelaki,” katanya.


Sumber: malaysianinsider.com

Tiada ulasan: