KLANG: Keluarga tunggang terbalik. Itu gambaran boleh diberikan terhadap sebuah keluarga apabila suami bersama dua anak lelakinya sanggup bersekongkol menghalau ibu kandung dari rumah, semata-mata kerana membela perempuan simpanan bapa mereka.
Tidak cukup kata-kata kesat dan cacian, mangsa turut mendakwa dipijak, ditendang di kepala, perut dan kemaluan oleh suami berusia lewat 40-an bersama perempuan simpanan terbabit ketika mahu mempertahankan rumah tangganya daripada musnah.
Difahamkan, mangsa yang enggan meninggalkan rumahnya, dibelasah lebih empat jam dengan disaksikan kedua-dua anaknya di hadapan rumah mereka di sini.
Namun, harapannya untuk mendapat pembelaan daripada kedua-dua anak kandung berusia 14 dan 12 tahun turut lenyap apabila mereka menyebelahi bapa dan perempuan simpanan lelaki terbabit, membuatkan ibu berkenaan terpaksa mengalah sebelum meninggalkan rumah sehelai sepinggang.
Difahamkan, perempuan simpanan berusia awal 30-an itu mempengaruhi kedua-dua anak mangsa yang sudah tidak bersekolah itu dengan melaburkan wang ringgit dan kekayaan dimilikinya selain pasangan kekasih terbabit dikatakan ‘menyihir’ kedua-dua remaja berkenaan supaya membenci ibu mereka.
Semuanya bermula apabila mangsa yang mahu dikenali sebagai Puspa, 47, mendakwa mengetahui suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori mempunyai perempuan simpanan sehingga mengabaikan kebajikannya dan anak-anaknya.
Menurutnya, setiap kali dia mempersoalkan perubahan sikap suaminya selepas memiliki perempuan terbabit, dia akan dibelasah.
“Bukan sekali atau dua, saya diperlakukan sedemikian lebih setahun. Saya hanya mampu berdoa supaya suami berubah.
“Disebabkan itu juga, saya mendiamkan diri bagi mengelak suami berang,” katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini, semalam.
Puspa berkata, awal bulan lalu dia mendapatkan nombor telefon perempuan terbabit dalam telefon bimbit suaminya dan menghubungi wanita itu.
“Kami bertengkar lebih 30 minit. Mana tidaknya, perempuan itu mendakwa akan menghalau saya keluar dari rumah saya.
“Malah, dia juga memberitahu akan menjadikan rumah saya sebagai ‘banglo’ barunya,” katanya.
Tindakannya menghubungi perempuan itu mengundang padah apabila wanita terbabit melaporkannya kepada suami mangsa.
Berikutan itu, suami mangsa berang lalu membelasah Puspa.
Puspa berkata, pada awal bulan ini kira-kira jam 10 pagi, wanita terbabit datang ke rumah sebelum menghalaunya keluar.
“Ketika itu saya cuba mempertahankan rumah tangga sebelum suami masuk campur. Suami bukan saja menampar, malah turut memijak kepala, menendang kemaluan dan perut saya.
“Biarpun diperlakukan sedemikian lebih empat jam, saya masih cuba mempertahankan rumah tangga, namun mengalah selepas kedua-dua anak turut mengarahkan saya keluar “Saya tak tahu apa yang terjadi kepada mereka,” katanya.
Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Klang.
Sehingga kini, mangsa sudah membuat lebih 10 laporan polis membabitkan perbuatan keji suaminya selain beberapa kes ugutan dilakukan lelaki terbabit.
Difahamkan, Puspa juga sudah membuat banyak aduan di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengenai dakwaan suaminya bersekedudukan dengan perempuan terbabit, namun tiada tindakan diambil sehingga kini.
Puspa berharap pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya terhadap suaminya dan perempuan simpanan itu supaya kejadian sama tidak berulang.
“Saya juga berharap kedua-dua anak sedar mengenai perbuatan mereka,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan