Jumaat, 23 April 2010

Keturunan Mahsuri ke-7 Aishah akhiri zaman bujang


PHUKET, 23 April — Wan Aishah Wan Nawawi, generasi ketujuh Mahsuri mengakhiri zaman bujang semalam — menjadi isteri kepada Alee Tongyon, seorang usahawan muda industri pelancongan.

Digelar “Princess”, Wan Aishah, yang nama Siamnya ialah Sirintra Yayee, dinikahkan sendiri oleh datuk sebelah ibunya, Abdul Karim Dumluck dengan bersaksikan khatib Masjid Kampung Tambon, Kemala di sini Abdul Kadir, dan bilal masjid, Rofiq Somsat.

Majlis pernikahan itu dilangsungkan malam tadi di masjid berdekatan kediaman ibu bapa Wan Aishah di Kampung Tambon, Kemala.

Menurut laporan Utusan Malaysia hari ini satu majlis resepsi akan berlangsung di rumah Wan Aishah esok dan dijangka dihadiri hampir 600 tetamu jemputan.

Salah seorang ahli keluarga Wan Aishah memberitahu pernikahan Wan Aishah diatur oleh keluarga.

Alee, 27, merupakan rakan sekampung Wan Aishah sejak kecil.

Pasangan ini bagaimanapun mula rapat sejak Wan Aishah memasuki universiti dan mengikat tali pertunangan awal tahun lalu.

Bakal suami Wan Aishah difahamkan seorang usahawan yang memiliki syarikat produksi dan terlibat dalam bisnes hotel serta resort di Phuket.

Wan Aishah, adalah anak sulung daripada dua beradik kepada pasangan Wan Nawawi Wan Hashim seorang pemandu tut-tut dan Sumaini Karim, pekerja hotel.

Wan Aishah menjadi idola rakyat Malaysia sekitar awal 1990-an apabila kisahnya berjaya dijejak Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Kedah yang kemudian disusuli Ekspedisi Melawat Phuket anjuran majalah Al-Islam pada 1998.

Ketika itu Wan Aishah baru berusia 12 tahun.

Sejak itu berita mengenai penemuan waris generasi ketujuh Mahsuri itu tersebar luas terutama di Thailand dan Malaysia.

Penemuan Wan Aishah menamatkan sumpah Mahsuri ke atas Pulau Langkawi yang menjadi padang jarak padang tekukur sejak tujuh keturunan Mahsuri yang silam.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ttg pernikahan waris mahsuri yang di post anda...knapa diwalikan datuk sebelah ibu? status nya gi mana ....biasanya sebelah bapa jadi wali...