Isnin, 28 Jun 2010

Tuan Guru Nik Aziz: " Jangan Terperangkap Dengan Politik Dhirar"


بسم الله الرحمن الرحيم
شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُولُو الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
- سورة آل عمران:18
Yang bermaksud :



Allah menyatakan bahwasanya tidak ada Tuhan melainkan dia (yang berhak disembah), yang menegakkan keadilan. para malaikat dan orang-orang yang berilmu (juga menyatakan yang demikian itu). tak ada Tuhan melainkan dia (yang berhak disembah), yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Terima kasih kepada saudara pengerusi majlis
• Presiden Pesatuan Mahasiswa Kelantan Universiti Malaysa (PMKUM) bersama ahli-ahli jawatankuasanya
• Pengarah Program, Majlis Anugerah Darul Naim (MADANI 10) bersama ahli-ahli jawatankuasa urusetia program
• Saudara saudari mahasiswa mahasiswi yang dikasihi sekalian

Alhamdulillah, terlebih dahulu marilah kita sama-sama memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah izin-Nya, kita dapat berkumpul di Majlis Anugerah Darul Naim (MADANI 10) yang dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Kelantan Universiti Malaya (PMKUM) pada pagi ini. Kalungan tahniah saya rakamkan kepada urusetia program yang telah berjaya melaksanakan program ini. Tidak lupa saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kerana dijemput untuk hadir seterusnya menyampaikan ucapan perasmian pada pagi ini.

Saudara-saudari, mahasiswa dan mahsiswi yang dikasihi sekalian.

Saya difahamkan bahawa majlis hari ini diadakan khusus untuk menyampaikan anugerah kepada individu-individi yang telah banyak merencana aktiviti bermanfaat demi pembangunan persatuan dari semua aspek. Saya yakin bahawa individu yang terpilih untuk menerima anugerah pada hari ini telahpun membuktikan segala komitmen dan mencurahkan kesungguhan yang tidak berbelah bahagi di dalam memastikan aktiviti persatuan berjalan dengan lancar ke arah akhirnya meraih keredhaan daripada Allah SWT.

Suka saya nyatakan bahawa pemberian anugerah bukanlah satu perkara yang asing di dalam Islam. Allah SWT telah memperkenalkan budaya apemberian anugerah di atas kemuliaan dan kecemerlangan serta ilmu yang dimiliki. Ini disebut di dalam al-Quran apabila Allah SWT memerintahkan para malaikat sujud kepada Nabi Adam as di atas kelebihan ilmunya mengatasi para malaikat.

Firman Allah SWT :

وَعَلَّمَ آَدَمَ الْأَسْمَاءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلَائِكَةِ فَقَالَ أَنْبِئُونِي بِأَسْمَاءِ هَؤُلَاءِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ (31) قَالُوا سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا إِنَّكَ أَنْتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ (32) قَالَ يَا آَدَمُ أَنْبِئْهُمْ بِأَسْمَائِهِمْ فَلَمَّا أَنْبَأَهُمْ بِأَسْمَائِهِمْ قَالَ أَلَمْ أَقُلْ لَكُمْ إِنِّي أَعْلَمُ غَيْبَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَأَعْلَمُ مَا تُبْدُونَ وَمَا كُنْتُمْ تَكْتُمُونَ (33) وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآَدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ أَبَى وَاسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَافِرِينَ (34) – سورة البقرة

Yang bermaksud : Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, Kemudian mengemukakannya kepada para malaikat lalu berfirman: "Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu mamang benar orang-orang yang benar!" Mereka menjawab: "Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang Telah Engkau ajarkan kepada Kami; Sesungguhnya Engkaulah yang Maha mengetahui lagi Maha Bijaksana." Allah berfirman: "Hai Adam, beritahukanlah kepada mereka nama-nama benda ini." Maka setelah diberitahukannya kepada mereka nama-nama benda itu,

Allah berfirman:
"Bukankah sudah Ku katakan kepadamu, bahwa Sesungguhnya Aku mengetahui rahasia langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan?" Dan (Ingatlah) ketika kami berfirman kepada para malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam," Maka sujudlah mereka kecuali Iblis; ia enggan dan takabur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir.

Di dalam ayat ini, Allah SWT telah menceritakan bagaimana Nabi Adam AS telah diajar dengan pelbagai jenis ilmu oleh Allah SWT sebagai nikmat pertama yang diterima oleh manusia. Kemampuan untuk belajar dan mengajar ini merupakan keistimewaan yang hanya ada pada manusia dan tidak ada pada makhluk yang lain hatta para malaikat.

Binatang ternakan contohnya, boleh diajar untuk mematuhi perintah tuannya, tetapi tidak boleh mengembangkan ilmu tersebut kepada binatang yang lain. Berbeza dengan manusia, sedikit ilmu yang diperolehinya mampu untuk dikembangkan dengan lebih meluas. Berasaskan kepada kelebihan inilah, Nabi Adam AS telah menerima aanugerah daripada Allah SWT berupa perintahNya kepada para malaikat supaya sujud kepada Nabi Adam.

Ini merupakan anugerah yang pertama yang diterima daripada Allah SWT kepada manusia bagi menunjukkan pengiktirafan terhadap kebolehan manusia menerima dan menyampaikan ilmu. Ayat yang saya bacakan di awal ucapan tadi juga menunjukkan pengisytiharan daripada Allah SWT bahawa penyaksian bahawa Dialah Tuhan yang layak disembah diakui olehNya sendiri, para malaikat serta orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan.

Ia menunjukkan ketinggian golongan yang diberikan ilmu oleh Allah SWT. Bagaimanapun, saya ingin mengingatkan, apa jua anugerah yang diterima pada hari ini bukanlah sesuatu yang hakiki. Semahal manapun anugerah yang diberikan, ia tidak dapat menandingi anugerah yang paling besar yang menanti di akhirat kelak iaitu syurga Allah SWT. Oleh yang demikian, belajarlah, bekerjalan dan berilah sumbangan bukan untuk anugerah yang diperolehi di dunia tetapi untuk anugerah yang dijanjikan di akhirat.

Jika ini berjaya diyakini oleh kita semua, Insya-allah, kita tidak kecewa jika tidak diberikan anugerah, tidak merajuk jika sumbangan tidak dihargai, tidak lari jika usaha kita dinafi. Bukankah kita sering membawa firman Allah SWT di dalam surah at-tin :

قَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ (4) ثُمَّ رَدَدْنَاهُ أَسْفَلَ سَافِلِينَ (5) إِلَّا الَّذِينَ آَمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ فَلَهُمْ أَجْرٌ غَيْرُ مَمْنُونٍ (6)

Yang bermaksud : Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya . Kemudian kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka), kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh; Maka bagi mereka pahala yang tiada putus-putusnya.

Saudara-saudari, mahasiswa dan mahsiswi yang dikasihi sekalian.

Ilmu, kemahiran dan segala macam pemberian yang datang daripada Allah SWT tidak hadir secara percuma. Ia datang dengan tanggungjawab. Ilmu yang diberikan oleh Allah SWT menuntut untuk diamalkan. Oleh yang demikian saya ingin mengingatkan agar kita semua sentiasa meneguhkan niat untuk melakukan amal yang soleh sesuai dengan ilmu yang kita miliki. Ilmu yang tinggi tanpa disertai dengan amalan yang soleh tidak akan bernilai di sisi Allah SWT.

Selain menjadi seroang yang soleh, kita juga dituntut menjadi seorang yang musleh (مصلح). Soleh ertinya baik, musleh ertinya mendatangkan kebaikan kepada orang lain. Menjadi soleh barangkali tidaklah terlampau payah, tetapi menjadi seorang yang musleh bererti menempah kesukaran dan kepayahan di dalam hidup.

Saya menyatakan peringatan ini kerana saudara-saudari masih di alam pengajian, masih belum terserempak dengan onak ranjau yang merintangi perjuangan, masih belum terjumpa duri-duri tajam yang melukakan sepanjang perjalanan, masih belum bersua dengan binatang-binatang buas yang sentiasa menanti masa membaham mangsa.

Demi Allah yang merajai kerajaan Langit dan Bumi, telah terbukti di dalam lembaran sejarah, para ulama yang diberikan ilmu yang tinggi oleh Allah, akhirnya berpaling ke belakang menjadi duri dalam daging mengoyakkan helaian ilmu yang dimiliki dan menjual prinsip demi sedikit habuan. Ada juga golongan ulama yang kurang bijak dalam mengatur siasah, akhirnya tertipu dengan mainan politik murahan golongan sekular, lalu menjadi alat politik tanpa mereka sedari. Saya mengungkapkan pesanan ini agar saudara-saudari tidak terjerumus di dalam lembah yang penuh ranjau itu. Kerana sekali saudara-saudari terjebak ke dalam, sukar sekali untuk bangkit dan bangun kembali.

Saudara-saudari, mahasiswa dan mahasiswi yang dikasihi sekalian.

Sejarah telah menukilkan bahawa telah lahir golongan yang berada di barisan hadapan menentang Rasulullah SAW sedangkan merekalah yang diberikan ilmu pengetahuan oleh Allah SWT. Justeru, al-Imam al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya Ulumuddin telah membahagikan ulama kepada ulama akhirat dan ulama dunia atau ulama su’. Golongan ulama su’ inilah yang menjadi penghalang kepada perjuangan Islam.

Pada zaman Rasulullah SAW, telah muncul ketua munafik seperti Abdullah bin Ubay, yang mengepalai golongan munafiqin merosakkan dakwah Rasulullah SAW sedangkan mereka tahu dengan sebenar-benarnya bahawa invididu yang mereka tentang ialah nabi yang diutuskan oleh Allah SWT. Lalu lahirlah daripada silibus perjuanga munafiq ini projek-projek yang lahirnya nampak baik dan murni namun hakikatnya bertujuan untuk memusnahkan Islam.

Muncullah projek Masjid Dhirar yang diperintahkan oleh Allah SWT untuk dimusnahkan. Walaupun namanya masjid, tetapi tujuannya untuk memecahbelahkan. Lalu menjadi tanggungjawab para ilmuwan sekalian untuk mengenal dengan pasti yang mana satukah projek masjid dhirar dan yang mana pula tidak. Ini penting agar para ilmuwan yang akan muncul sebagai golongan ulama tidak terperangkap dengan politik dhirar tanpa disedari.

Saudara-saudari, mahasiswa dan mahasiswi yang dikasihi sekalian.

Akhir kata, saya berharap supaya saudara-saudari sekalian dapat memanfaatkan masa dan peluang yang diberikan oleh Allah SWT pada hari ini untuk menimba ilmu dan juga pengalaman sebanyak mungkin. Dunia hari ini tidak lagi menuntut lahirnya mahasiswa yang menggenggam segulung ijazah semata-mata, tetapi mahasiswa yang mampu berinteraksi dengan masyarakat.

Segulung ijazah hanyalah merupakan pengiktirafan akademik namun belum membuktikan saudara-saudari mampu menyumbang kepada masyarakat. Oleh yang demikian, bahagikanlah masa sebaik mungkin di antara tuntutan akademik dan aktiviti-aktiviti lain yang bertujuan mengasah kepimpinan dan kemahiran urus tadbir. Semoga segala usaha yang kita lakukan mendapat ganjaran di sisi Allah SWT.

Saya sudahi dengan

أقول قولي هذا وأستغفر الله العظيم لي ولكم والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

TEKS UCAPAN
YANG AMAT BERHORMAT TUAN GURU DATUK MENTERI BESAR KELANTAN
- PERASMIAN MAJLIS ANUGERAH DARUL NAIM (MADANI 10) -
PERSATUAN MAHASISWA KELANTAN UNIVERSITI MALAYA

PADA : 27 JUN 2010
BERTEMPAT DI HOTEL RAUDHAH, KOTA BHARU, KELANTAN
JAM 10.30 PAGI

Teks dibacakan oleh YB Dr Mohd Fadzli bin Dato Haji Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Negeri Kelantan

Tiada ulasan: