Sabtu, 19 Jun 2010

Empat pelajar cabar UKM digantung tugas


KUALA LUMPUR, 18 Jun — Empat pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang kini mencabar menara gading itu berhubung tindakan tatatertib berhubung pembabitan dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor telah digantung kedudukan mereka sebagai pemimpin Kelab Sains Politik.

Perkara itu disahkan oleh Kelab Sains Politik UKM hari ini.

Mereka menerima surat penggantungan tugas pagi semalam.

Timbalan Yang Dipertua kelab itu, Mohd Rahimi Hassan berkata empat pelajar terbabit telah menerima surat bertarikh 14 Jun lalu, yang di tandatangani oleh Musa Zainal Abidin Othman selaku Ketua Unit Pentadbiran, Jabatan Perkhidmatan Pelajar.

“Kami mengesahkan kempat-empat ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Kelab Sains Politik, Hilman Idham selaku Yang Dipertua, Ismail Aminuddin selaku Naib Yang Dipertua, Azlin Shafina selaku Setiausaha Agung dan Woon King Chai selaku Exco telah menerima surat penggantungan tugas dan jawatan dalam Kelab Sains Politik UKM,” kata Rahimi dalam kenyataan dikeluarkan petang ini.

Rahimi menambah, kandungan surat diterima menyatakan penggantungan tugas dan jawatan mereka berkuat kuasa 2 Jun lalu atas alasan prosiding tindakan disiplin belum selesai.

Surat itu menyebut, tindakan tersebut diambil menurut Perenggan 52(7) Perlembagaan UKM yang menyebut “tiada seorang pelajar pun yang prosiding tatatertib terhadapnya masih belum selesai atau yang telah didapati bersalah atas sesuatu kesalahan tatatertib, boleh dipilih atau kekal menjadi ahli MPP atau seorang pemegang jawatan dalam mana-mana badan atau jawatankuasa pelajar melainkan jika dibenarkan secara bertulis oleh Naib Canselor.”

Sehubungan itu kata Rahimi, Majlis Pimpinan Tertinggi kelab akan mengadakan mesyuarat khas Selasa ini bagi membincangkan tindakan susulan.

“Agenda mesyuarat antaranya ialah membincangkan pendirian persatuan berkenaan keputusan UKM untuk menggantung kedudukan keempat-empat ahli Majlis Pimpinan Tertinggi kelab,” katanya.

Semalam, empat pelajar berkenaan yang didakwa terlibat dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor April lepas berjaya mendapat perintah injunksi sementara bagi menghalang UKM daripada meneruskan prosiding tatatertib terhadap mereka.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Aziah Ali membuat keputusan itu dalam kamarnya selepas kedua-dua pihak bersetuju melanjutkan perintah injuksi sebelah pihak yang diperoleh pelajar itu pada 1 Jun lepas, sehingga pelupusan saman pemula mereka.

Keempat-empat pelajar itu dari jurusan sains politik, pada 1 Jun lalu memfailkan saman pemula terhadap kerajaan Malaysia, Menteri Pengajian Tinggi dan UKM, bagi mencabar tindakan tatatertib yang dibawa kepada mereka oleh universiti itu, atas kesalahan mengikut Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti & Kolej Universiti 1971 (AUKU), adalah tidak berasas dan tidak sah di sisi undang-undang.

Pelajar itu pada ketika kejadian berada di tahun kedua pengajian dan akan memulakan pengajian tahun ketiga mereka pada Julai ini.

Mereka juga memohon deklarasi bahawa Seksyen 15(5)(a) AUKU, adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak sah, kos dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Seksyen itu menyebut bahawa tiada seorang pun pelajar universiti boleh menyatakan atau melakukan apa jua yang boleh ditafsirkan sebagai sokongan atau simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik sama ada di dalam atau di luar negara.

Tiada ulasan: