Rabu, 16 Jun 2010

Rakyat waras tidak dapat terima mansuh biasiswa

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 16 Jun: “Tidak ada rakyat Malaysia yang waras yang dapat menerima keputusan kerajaan untuk menidakkan peluang pelajar cemerlang Malaysia untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara kerana kekurangan sumber dana,” kata Ahli Parlimen Rasah, Loke Siew Fook.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) membantah keras keputusan kerajaan untuk memansuhkan pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada pelajar cemerlang secara berperingkat-peringkat seperti yang diumumkan Perdana Menteri di Dewan Rakyat semalam.

Beliau dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini berkata, keputusan itu bercanggah dengan falsafah dan semangat yang digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-10.

"Dapsy merasakan keputusan ini sangat tidak adil kepada generasi muda Malaysia kerana pengurusan kewangan yang boros dan tidak berhemah oleh Kerajaan Barisan Nasional menyebabkan generasi muda Malaysia terpaksa menangung akibat dan implikasinya," katanya.

Beliau juga berkata, rakyat tidak dapat menerima keputusan kerajaan memansuhkan pemberian biasiswa itu sedangkan kerajaan mengumumkan cadangan untuk membina bangunan Parlimen yang baru bernilai RM800 juta dan kos pembinaan Istana Negara mencecah RM811 juta.

"Kerajaan mengatakan pemberian biasiswa ini tidak dapat diteruskan kerana pembiayaan kewangan yang tinggi dan kerajaan tidak mampu menanggungnya. Ini adalah satu asalan yang tidak boleh diterima sama sekali.

"Tatkala apabila kerajaan mengumumkan cadangan untuk membina bangunan Parlimen yang baru bernilai RM800 juta dan kos pembinaan Istana Negara mencecah RM811 juta, tidak ada rakyat Malaysia yang waras yang dapat menerima keputusan kerajaan untuk menidakkan peluang pelajar cemerlang Malaysia untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara kerana kekurangan sumber dana," katanya.

Katanya, Dapsy turut mempersoal keikhlasan kerajaan dalam ‘membentuk belia untuk menjadi pemimpin masa hadapan yang dinamik dan berinspirasi’ seperti yang terkandung dalam RMK ke-10 yang dibentangkan.

"Apakah isi kandungan yang tertera dalam RMK10 yang dibentangkan sendiri oleh Perdana Menteri sekadar indah khabar dari rupa? Perdana Menteri semakin hari semakin dikenali sebagai ‘Perdana Menteri flip-flop’. Namun kita tidak menjangkakan bahawa beliau begitu cepat ‘flip-flop’ dalam dasar yang dibentangkan oleh beliau sendiri di Parlimen kurang dari semingu yang lepas," katanya.

Sehubungan itu, katanya Dapsy menyeru kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa pemilih khas Parlimen untuk mengkaji semula secara menyeluruh setiap aspek pelaksanaan dan sistem pemilihan penerima biasiswa JPA termasuk dua cadangan iaitu memberikan biasiswa kepada semua pelajar cemerlang SPM yang mendapat A dalam semua mata pelajaran ke peringkat pra-universiti.

Selain itu, penajaan biasiswa ke luar negara mengikut pengkhususan bidang pengajian hanya ditetapkan selepas menilai keputusan akademik di peringkat pra-universiti.

Tiada ulasan: