Ahad, 4 Julai 2010

Israel enggan minta maaf kepada Turki serang kapal


beritahairan

Netanyahu gembira Ankara berunding pulih hubungan

BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, semalam terus enggan meminta maaf atas serangan terhadap kapal Mavi Marmara yang menyebabkan sembilan orang maut sambil memuji perbincangan secara rahsia kerajaannya dengan Ankara yang bertujuan memulihkan hubungan kedua-dua negara yang terjejas selepas serbuan ke atas kapal milik Turki itu.
“Israel tidak boleh mohon maaf kerana askarnya terpaksa mempertahankan diri dan mengelak daripada menerima tindakan anggota misi itu. Kami, bagaimanapun, kesal dengan kematian yang berlaku selepas itu,” kata Netanyahu.
Serangan ke atas kapal Mavi Marmara milik Turki menyebabkan lapan orang rakyat negara itu seorang lagi warganya berketurunan Amerika Syarikat terbunuh.
Ankara memanggil pulang dutanya dari Tel Aviv dan membatalkan tiga latihan tentera bersama, sebagai membantah tindakan itu.

Netanyahu mengeluarkan kenyataan berkenaan dua hari selepas Menteri Perdagangan Israel, Benjamin Ben Eliezer dan Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu berbincang secara rahsia bagi meredakan ketegangan selepas serbuan itu.

“Pertemuan ini adalah penting bagi Israel dan Turki bagi mengelak hubungan dua negara menjadi lebih buruk,” katanya.
Jurucakap Kementerian Luar Turki, Burak Ozugergin berkata, dalam pertemuan itu Davutoglu memberitahu Ben Eliezer bahawa Turki menuntut permohonan maaf berikutan tindakannya dan Israel perlu membayar pampasan kepada keluarga mangsa selain mempersetujui siasatan antarabangsa terhadap serbuan itu.

Bagaimanapun, Netanyahu berkata tiada perbincangan mengenai pampasan dibuat dan menegaskan jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Israel untuk menyiasat serbuan itu ‘memenuhi tuntutan’ masyarakat antarabangsa.

Israel menolak gesaan agar siasatan antarabangsa dilakukan tetapi menubuhkan suruhanjaya siasatan diketuai bekas hakim Mahkamah Agung dengan dua pemerhati antarabangsa.

“Suruhanjaya ini sudah meminta hak khusus secara meluas dan kami bersetuju dengan permintaan ini kerana tidak ada yang kami perlu sembunyikan,” katanya.

Tentera Israel juga melancarkan siasatannya sendiri. Israel sebelum ini mempertahankan tindakan pasukan komandonya dan berkata ia perlu menahan kapal itu daripada meneruskan pelayaran ke Gaza kerana dikhuatiri membawa senjata untuk pergerakan Hamas.

Sementara itu, di Brussels menimbulkan ketegangan di Israel selepas Netanyahu dikatakan memberi kebenaran tanpa memaklumkan Menteri Luar Avigdor Lieberman.

Netanyahu sudah menemui Lieberman bagi meredakan ketegangan dan menteri itu mengulangi pendiriannya bahawa beliau tidak mahu Israel memohon maaf atau membayar pampasan kerana ia akan menjejaskan pendirian negara Yahudi itu pada peringkat antarabangsa. – AFP

Tiada ulasan: