beritahairan
Kaki judi gigit jari skuad Samba tewas suku akhir
KUALA LUMPUR: Bookie bola sepak yang men-dalangi sindiket pertaruhan haram di negara ini sempena Piala Dunia 2010, dipercayai meraih keuntungan mencecah puluhan juta ringgit selepas pasukan pilihan, Brazil tewas kepada Belanda pada saingan suku akhir, malam kelmarin.
Tidak ramai peminat bola sepak dan kaki judi menjangka Brazil terkandas pada perlawanan penting itu dan pasti meletakkan pertaruhan mereka ke atas gergasi bola sepak Amerika Selatan itu untuk melangkah ke pusingan separuh akhir.Difahamkan, kebanyakan kaki judi membuat pertaruhan besar ke atas Brazil tetapi akhirnya mereka "menggigit jari" apabila skuad Samba itu kalah 1-2 kepada Belanda yang dianggap bukan pilihan.
Sumber Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, berkata sehingga perlawanan pusingan 16 pasukan berakhir, jumlah keseluruhan nilai pertaruhan didalangi sindiket seluruh negara sudah melebihi RM400 juta dan bermula saingan suku akhir, nilai pertaruhan bagi setiap perlawanan dianggarkan meningkat hingga mencecah RM50 juta.
Sehubungan itu, polis tidak menolak kemungkinan bookie mampu memperoleh keuntungan mencecah puluhan juta ringgit bagi satu perlawanan termasuk yang membabitkan Brazil dan Belanda.
"Ramai tidak menjangka Belanda mampu menewaskan Brazil, sebab itu biasanya ramai yang bertaruh dengan memberi 'satu bola' (satu gol) kepada Belanda kerana tidak yakin pasukan itu dapat menjaringkan lebih daripada satu gol.
"Bagaimanapun, jangkaan itu meleset dan kemungkinan besar ramai yang kalah dalam pertaruhan, sekali gus memberi keuntungan lumayan kepada bookie. Ketika pertemuan Brazil dan Belanda itu, beberapa lagi individu yang mendalangi pertaruhan haram ditahan polis di seluruh negara," katanya kepada Berita Minggu, semalam.
Sumber itu berkata, polis percaya jumlah pertaruhan dijangka meningkat dalam dua lagi perlawanan suku akhir antara Argentina dan Jerman, malam tadi serta awal pagi ini membabitkan Paraguay dan Sepanyol, selain baki empat lagi perlawanan membabitkan saingan separuh akhir, penentuan tempat ketiga dan keempat serta final, 12 Julai.
Dijangka perlawanan tumpuan suku akhir antara Argentina dan Jerman yang dianggap sesetengah pihak sebagai 'perlawanan akhir', menarik minat bookie dan kaki judi dengan jumlah pertaruhan dianggar lebih tinggi berbanding ketika pertemuan Brazil-Belanda.
Sebelum ini, dilaporkan lebih 200,000 orang terbabit dalam judi bola sepak di negara ini setiap hari sepanjang 10 hari pertama kejohanan bermula dengan 130 individu termasuk bookie dan kaki judi ditahan polis menerusi Ops Soga.
Selain pertaruhan secara online, bookie bola sepak turut menawarkan pertaruhan menggunakan kaedah konvensional kepada orang ramai iaitu di warung atau kedai kopi yang dijadikan pusat operasi menggunakan khidmat warga asing sebagai orang tengah.
Di KUCHING, beberapa sindiket perjudian dilaporkan untung besar mencecah jutaan ringgit berikutan kekalahan Brazil. Difahamkan, pertaruhan pertemuan gergasi bola sepak itu dan Belanda dibuka sejak Rabu lalu, sejurus keputusan penuh pusingan kedua perlawanan Piala Dunia diketahui.
Menurut seorang lelaki yang menjadi orang tengah sindiket pertaruhan, kebanyakan kaki judi membuat pertaruhan besar malah ada mencecah ribuan ringgit ke atas Brazil kerana yakin pasukan itu akan menang.
Di TAIPING, dua lelaki dipercayai bookie ditahan ketika menguruskan pertaruhan perlawanan Brazil dan Belanda selepas polis menyerbu sebuah premis di Taman Perumahan Sungai Emas, kira-kira jam 9 malam, iaitu sejam sebelum perlawanan terbabit bermula.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah, berkata dua lelaki berusia 30-an itu dipercayai menggunakan telefon bimbit untuk berhubung dengan individu yang ingin meletakkan pertaruhan dan polis menemui sejumlah kepingan kertas bertulis nilai pertaruhan antara RM100 hingga RM1,000.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan