Ahad, 3 Julai 2011

PM 'Esam Sharf kena "kad kuning", KDN Mesir "kad merah", kena keluar 'padang'



Simbolik kepada sebuah perlawanan bolas sepak, Perdana Menteri Mesir, Dr.Esam Sharf dilayangkan "kad kuning" oleh para penunjuk perasaan yang menyaksikan ratusan membanjiri dataran Tahrir selepas solat Jumaat semalam dengan dinamakan "Jumaat Qisas" iaitu Jumaat untuk pembalasan bunuh bagi mereka yang membunuh. Mengembalikan kenangan beberapa bulan lalu sebelum kejatuhan Mubarak, mereka sekali lagi melaungkan perkataan "Asya'ab Yurid Isqatan Nizom" seperti yang pernah dilaungkan di tempat yang sama sebelum 25 Januari.

Semalam mereka berkumpul sekali lagi terutama kalangan keluarga dan sahabat mereka yang terkorban dalam revolusi sebagai isyarat kepada kerajaan Mesir pada hari ini yang dilihat "ke arah kegagalan" dalam memenuhi tuntutan mereka terutama bagi melihat Mubarak dibicarakan. Oleh itu, dalam tunjuk perasaan semalam, mereka sama-sama mengangkat "kad kuning" terhadap PM Mesir sebagai "amaran pertama" mereka dan sedia memberikan peluang sekali lagi selepas ini. Namun, amat malang bagi Menteri Dalam Negeri, Mansur 'Isawi yang terus dilayangkan "kad merah" dengan bermaksud peluang kepada beliau yang menjawat jawatan tersebut pada Mac 2011 telahpun tamat. Ini kerana sebagai menteri yang bertanggungjawab menjaga keamanan dalam negara, siasatan terhadap Mubarak dan mereka yang terbabit dengan pembunuhan para penunjuk perasaan masih belum menampakkan hasil. Oleh itu, mereka meminta 'Isawi meletakkan jawatan.

PM Esam Syarf (gambar atas) dan Menteri Dalam Negeri Mansur 'Isawi (gambar bawah)


Tunjuk perasaan yang diadakan di Tahrir semalam turut menyaksikan ucapan dari Dr.Mazhar Syahin, imam dan khatib Masjid 'Umar Makram, masjid berdekatan kompleks di dataran Tahrir yang dikenali sebagai "khatib revolusi" kerana sepanjang revolusi lepas, beliau banyak memberikan khutbah jumaat ketika solat Jumaat didirikan di dataran tersebut.Buat pertama kalinya semalam juga, pihak penganjur memberikan peluang kepada beberapa orang ibu kepada pemuda dan anak-anak yang terkorban dalam revolusi. Semua mereka yang berucap dengan nada yang satu mendesak Mubarak dibicarakan dan tidak seharusnya Mubarak dilayan di hospital dengan layanan "hotel lima bintang".

Mereka juga sepakat tidak akan menanggalkan pakaian perkabungan mereka iaitu pakaian hitam sehingga Mubarak dan konco-konconya dihukum. (Wanita Mesir akan mengenakan pakaian serba hitam sebagai tanda berkabung apabila berlaku kematian terhadap ahli keluarga).

Tiada ulasan: