Ahad, 24 Julai 2011

Memo bantah cabul hak mahasiswa catat sejarah

KUALA LUMPUR, 23 Julai: Penyerahan Memorandum Bantahan Pencabulan Hak Mahasiswa di Mesir kelmarin telah menjadi detik sejarah bagi memastikan hak mahasiswa tidak dicabul oleh mana-mana pihak.

Pengerusi Gerakan Solidariti Pertahan Hak Mahasiswa (Desak), Nuruddin Zanki memaklumkan bahawa sejarah pencabulan hak mahasiswa telah banyak dilakukan oleh beberapa pihak terutamanya Jabatan Penuntut Malaysia (JPMK), lapor laman web Media Mesir.

"Sebelum ini kita dikejutkan dengan tindakan salah seorang Pegawai Atase bernama Encik Khairi Jalalluddin. Beliau telah banyak bertindak menyusahkan pelajar ketika berurusan dengan pihak mereka.

"Sebelum ini juga Encik Zulkifli bin Din yang merupakan pegawai JPMK turut telah menghina mahasiswa yang tidak mempunyai kewangan, dari negeri Kedah dan Kelantan,” katanya lagi.

Selain itu terdapat juga usaha serius untuk menyekat zakat dan dermasiswa terhadap mahasiswa, antara yang terbabit ialah Negeri Perak, Terengganu dan lain-lain yang disekat zakat mereka.

Pada tahun lepas, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) telah melancarkan Borang Aduan Hak Mahasiswa.

Usaha tersebut bagi membuka ruang kepada mahasiswa untuk membuat aduan tentang pencabulan hak mahasiswa.

Seterusnya segala aduan tersebut telah dihantar secara bertulis kepada Encik Saiful, Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) ketika itu.

"Saya mengingatkan bahawa mahasiswa bukanlah bahan mainan. Mahasiswa akan bangkit sekiranya hak mereka dicabul,” kata Nuruddin mengakhiri perbualan.

2,000 sertai solat hajat

Pada 19 Julai lalu, Desak telah menganjurkan solat hajat dan penerangan isu semasa.

Program yang menghimpunkan lebih 2,000 orang mahasiswa tersebut telah didukungi oleh beberapa persatuan pelajar, iaitu Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM), Persatuan Perubatan dan ABIM Mesir.

Di dalam program tersebut, para mahasiswa telah didedahkan dengan beberapa kes pencabulan hak mahasiswa yang dilakukan oleh Jabatan Penuntut Malaysia (JPMK) dan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK).

Antara kes pencabulan hak mahasiswa yang disenaraikan ialah 3 orang mahasiswa yang dihalau daripada Asrama Rumah Melayu Abbasiah (ARMA) tanpa sebarang notis, 40 senarai nama hitam dari negeri Perak yang terlibat dengan perhimpunan Bersih 2.0, beberapa orang yang menerima ugutan dari Negeri Terengganu dan seorang mahasiswa yang telah dibatalkan pengajiannya.

Selain itu beberapa aduan yang diterima, pihak Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) banyak menyusahkan mahasiswa ketika berurusan dengan mereka.

Antaranya, pegawai JPMK akan merujuk album-album gambar Bersih 2.0 terlebih dahulu bagi menjalankan sesi soal siasatke atas mahasiswa dan mahasiswi yang ingin membuat urusan sebagai rakyat Malaysia.


Tiada ulasan: