Ismail Hashim
SHAH ALAM, 27 April: Negara kini berada dalam keadaan membimbangkan kerana berleluasanya salah laku rasuah yang tidak dapat dibendung lagi.
Keruntuhan itu tidak dapat dielakkan sekiranya kerajaan yang sedang mengamal dan membiarkan isu ini berlarutan, tidak ditukar dengan pakatan baru yang menolak rasuah.
AJK PAS Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, sebagai contoh pengalaman di Rusia dan Filipina termasuk Arab yang dahulunya mempunyai tamadun sendiri selepas itu tumbang.
Ahli Parlimen Bukit Gantang itu berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Rasuah Pemusnah Tamadun di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf (KMK), dekat sini petang tadi.
Turut serta adalah Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed, Senator Ezam Mohd Nor dan Pengasas ESQ, Dr Ary Ginanjar dengan moderator dari Bernama TV, Zulkifli Bujang.
Bercakap lebih lanjut, Nizar berkata sewajarnya SPRM dan Peguam Negara tidak berada di bawah nasihat Perdana Menteri yang juga Presiden BN dan Umno.
Bagaimana mungkin, soalnya, mereka boleh menyiasat perkara yang menyentuh kepentingan yang melibatkan perdana menteri dan mereka yang terlibat.
Sebab itu, tegasnya, Pakatan Rakyat meminta selama ini agar semua agensi kerajaan seperti SPRM, Peguam Negara, Ketua Polis, Pengerusi Felda, Petronas dan sebagainya mestilah dilantik oleh dan diletakkan di bawah Parlimen.
Menjawab soalan sama ada PAS ingin meniru bentuk kebangkitan rakyat di negara luar yang melakukan demontrasi jalanan sehingga tertumbangnya pemerintah zalim, Nizar menidakkannya.
"Pakatan tidak pernah meminta rakyat untuk meniru kebangkitan rakyat sehingga jatuh beberapa negara terbabit kerana rasuah dan salah laku.
"Rakyat inginkan perubahan dalam hal-hal berkaitan rasuah, contohnya, kenapa hanya ikan bilis sahaja yang terkena siasatan dan hukuman sedangkan bagaimana dengan isu Khir Toyo dan Taib Mahmud," ujarnya.
Majlis beberapa kali terganggu dengan pekikan kuat dipercayai dilakukan kumpulan sorak yang dibawa oleh pihak tertentu dan membuat bising terutamanya ketika Nizar memberikan hujah mantapnya.
Ketika Dr Ary Ginanjar berkata, malangnya dalam suasana wacana itu, iblis dan syaitan juga turut serta, mereka tidak ingin agar rasuah itu dibanteras.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan