Khamis, 7 Oktober 2010

 Islamofobia: Najib perlu sebar Islam sebenar

Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 6 Okt: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dinasihatkan supaya menggalakkan penyebaran faham Islam yang sebenar sekiranya Malaysia mahu menangani Islamofobia di peringkat antarabangsa dan setempat.

Menurut Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, faham Islam yang Umno serta Perkasa popularkan di tanah air adalah faham yang salah serta mengundang Melayufobia.

"Faham salah yang Umno, Perkasa bawa galak api perkauman serta guna agama untuk takutkan orang bukan Islam, kalau Islam disebarkan macam yang Rasulullah bawa, Islamofobia tidak berlaku.

"Kalau lihat fahaman ekstrem mereka ini, Najib bukan saja susah nak tangani Islamofobia, Melayuphobia pun belum tentu lagi," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Melayuphobia, menurut beliau adalah faham pelampau yang mengajak rakyat tidak kira Melayu atau bukan Melayu supaya takut mempersoal sesuatu yang dianggap menggugat kepentingan politik Umno dalam negara.

Islamphobia dalam konteks Malaysia, menurutnya seperti permainan politik perkauman serta memanipulasi agama (Islam) sehingga orang bukan Islam percaya bahawa Islam adalah agama eksklusif untuk orang-orang Melayu sahaja.

Akibat dari salah fahaman tersebut, menurut beliau mengakibatkan lahirnya faham ekstrem seperti mengarak kepala lembu berdarah di Shah Alam, Ogos tahun lalu.

Fahaman yang salah itu, katanya lagi mengakibatkan orang bukan Islam jauh dari Islam serta takut untuk menyebut kalimah 'Allah', walhal tidak ada nas yang sahih lagi jelas yang mengharamkan orang bukan Islam dari menyebut kalimah suci itu.

Fahaman yang salah itu, ujarnya turut mengakibatkan beberapa kes vandalisme yang mencemarkan beberapa surau serta rumah ibadat penganut bukan Islam.

Sedangkan, katanya Rasulullah s.a.w mengajar umat Islam erti keadilan, kedamaian, kehormatan, kejujuran, kepelbagaian, kasih sayang serta kesederhanaan.

"Islam yang Rasullah ajar adalah keadilan, kedamaian, kejujuran, saling berkasih sayang sesama umat Islam (dan) saling menghormati dengan yang bukan Islam, bukan arak kepala lembu, bakar sana dan bakar sini," ujarnya.

Ujarnya lagi, Islam yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w turut tidak mengajar penganutnya supaya menjadi pelampau agama serta taasub pada api perkauman satu-satu kaum.

"Islam yang Rasulullah ajar adalah manusia semuanya bersaudara dan dituntut saling mengenali antara satu-satu bangsa."

"Bukan tindas rakyat tak kiralah Melayu, Cina atau India disebabkan mereka ini tidak sokong faham pelampau parti atau pertubuhan tertentu," beliau menambah.

Tiada ulasan: